Sunday, August 22, 2010

Saya Lebih Tahu Agama Saudara

Apabila mendengar Muhammad ingin berpindah ke Madinah, Adi bin Hatim pun segera keluar dari bandar Madinah. Beliau melarikan diri ke negara Rom.

Selepas tiba di sana, Adi pun menghantar rombongan berjumpa dengan Nabi Muhammad. Salah seorang anggota rombongan itu adalah ibu saudaranya yang sudah tua. Adi mahu menguji sejauh mana sifat bongkak Muhammad sebagaimana yang beliau dengar daripada oranng-orang Mekah.

Setibanya rombongan itu di Madinah, ibu saudara Adi berkata, "Wahai utusan Allah! Kami datang dari jauh. Kami tidak mempunyai anak. Saya pula sudah tua dan tidak kuat melakukan apa-apa kerja. Berikan kepada saya seorang pembantu. Semoga Allah membalas jasa tuan itu."

"Siapakah yang mengutus ibu datang ke sini?" tanya Muhammad mesra.

"Adi bin Hatim," jawab wanita itu.

"Oh, beliaulah orang yang lari daripada Allah dan rasulnya," kata Nabi Muhammad.

Adi pernah berpesan kepada ibu saudaranya supaya meminta unta daridapa Nabi Muhammad. Ibu saudaranya itu pun teringat pesanan Adi itu lalu berkata, "Wahai utusan Allah, berikan kepada kami unta."

Nabi Muhammad pun memerintahkan sahabat beliau memberikan seekor unta kepada wanita itu.

Kemudian wanita itu bersama-sama dengan rombongannya kembali bertemu dengan Adi.

"Wahai Adi, kamu telah melakukan perkara yang pelik yang belum pernah dilakukan oleh bapamu," kata ibu saudara Adi. "kamu pergi berjumpa sendiri dengan Muhammad. Sama ada kamu suka ataupun takut. Ramai orang yang pergi berjumpa dengannya dan mendapat apa yang mereka hajati," arah ibu saudara Adi.

Adi menceritakan, "Saya pun terus pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad. Pada masa itu, saya dapati beliau sedang duduk bersama-sama dengan seorang wanita dan anak kecil. Beliau duduk dekat dengan mereka. Barulah saya tahu beliau tidak bongkak seperti pemimpin Rom ataupun Parsi."

Apabila Nabi Muhammad terpandang Adi, beliau terus berkata, "Wahai Adi bin Hatim, masuklah saudara ke dalam agama Islam, pasti saudara selamat." Nabi Muhammad mengulang ajakannya itu sebanyak tiga kali.

"Saya tidak mahu. Saya masih dalam agama saya," jawab Adi.

"Saya lebih tahu agama saudara daripada saudara sendiri," kata Nabi Muhammad.

"Tuan lebih tahu agama saya berbanding saya?" tanya Adi pelik.

"Bukankah saudara menganut agama Rukusiah? Bukankah saudara mengambil satu perempat daripada harta rampasan perang yang diperoleh oleh kaum saudara? Sedangkan ia haram bagi saudara?" tanya Nabi Muhammad.

Agama Rukusiah adalah agama yang mencampurkan antara agama Kristian an Majusi.

"Ya, betul," jawab Adi.

"Bukankan agama saudara mengharamkan saudara daripada melakukan perkara itu?" tanya Nabi Muhammad lagi.

Akhirnya, Adi bin Hatim terdiam mendengar hujah Nabi Muhammad berkaitan agamanya. Beliau akui semua yang dikatakan oleh Nabi Muhammad itu adalah benar.

"Sebenarnya, saya tahu mengapa saudara tidak mahu menerima Islam," kata Nabi Muhammad. "Saudara rasa agama ini hanya dianuti oleh orang-orang yang lemah dan tidak mempunyai apa-apa kekuatan. Orang-orang Islam hanyalah orang yang sudah diusir oleh orang-orang Arab Mekah," jelas Nabi Muhammad.

"Saudara tahu tempat bernama Hirah?" tanya Nabi Muhammad kepada Adi.

"Ya, saya pernah mendengarnya. Tetapi saya belum pernah sampai di situ," jawab Adi.

"Demi Allah, Tuahn yang menggenggam nyawa saya. Allah akan sempurnakan kekuatan agama Islam ini sehingga ada seorang wanita dari Hirah pergi ke Mekah bagi tawaf di Kaabah seorang diri tanpa diiringi oleh sesiapa. Allah pasti memberikan kemenangan kepada Islam sehingga berjaya menguasai kekayaan pemimpin Parsi, Kisra bin Hurmuz," jelas Nabi Muhammad secara optimis.


Sunday, August 15, 2010

Sihat Cara RASULULLAH saw

ANEKA TIPS KEHIDUPAN YANG DIAMALKAN OLEH RASULULLAH SAW


MAHUKAH KITA SIHAT CARA RASULULLAH?
Rasulullah saw bersabda : 'Mu'min yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mu'min yang lemah .....'(HR Muslim)

Bagaimana agar senantiasa sihat seperti Rasulullah? Ikuti resepi berikut :


SELALU BANGUN SEBELUM SUBUH
Rasulullah selalu mengajak ummatnya untuk bangun sebelum subuh, melaksanakan solat sunah dan solat fardhu, solat Subuh berjamaah. Hal ini memberi hikmah yang mendalam antara lain :

- Berlimpah pahala dari Allah

- Kesegaran udara subuh yang baik untuk kesihatan/ terapi penyakit TB

- Memperkuat fikiran dan menyihatkan perasaan (metenteramkan jiwa).


SELALU MENJAGA KEBERSIHAN
Rasulullah sentiasa rapi dan bersih, setiap hari Khamis atau Jumaat beliau mencukur rambut-rambut halus di pipi, selalu memotong kuku, bersisir dan berminyak wangi.


TIDAK PERNAH BANYAK MAKAN
Sabda Rasulullah saw : 'Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan bila kami makan tidak terlalu banyak ( tidak sampai kekenyangan)'(Muttafaqun Alaih) .


Dalam tubuh manusia ada 3 ruang untuk 3 unsur : Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga untuk makanan. Bahkan ada satu tarbiyyah khusus bagi ummat Islam dengan adanya Puasa Ramadhan untuk menyeimbangkan kesihatan.


GEMAR BERJALAN KAKI
Rasulullah selalu berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad, mengunjungi rumah sahabat, dan sebagainya. Dengan berjalan kaki, peluh akan mengalir, pori2 terbuka dan peredaran darah akan berjalan lancar. Ini penting untuk mencegah penyakit jantung..


TIDAK PEMARAH
Nasihat Rasulullah : 'Jangan Marah' diulangi sampai 3 kali. Ini menunjukkan bahawa kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasadiyah belaka, tetapi lebih jauh iaitu dilandasi oleh kebersihan dan kesihatan jiwa. Ada terapi yang tepat untuk menahan marah :

- Mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka duduk, dan bila duduk maka berbaring.

- Membaca Ta 'awwudz, kerana marah itu dari syaitan .

- Segeralah berwudhu'.

- Solat 2 rakaat untuk mendapat ketenangan dan menghilangkan kegundahan hati.


OPTIMIS DAN TIDAK PUTUS ASA
Sikap optimis akan memberikan impak psikologi yang mendalam bagi ketenagan jiwa sehingga kita tetap sabar, istiqomah dan bekerja keras, serta tawakal kepada Allah SWT.


TAK PERNAH IRI HATI
Untuk menjaga kesihatan hati & ketenangan jiwa, jauhilah sifat iri hati

Thursday, August 5, 2010

Padah Abai Ibu

Pada zaman dahulu, ada seorang pemuda bernama Juraij yang tinggal bersama ibunya yang sudah tua. Juraij berasal daripada kaum Bani Israel. Dia sangat tekun dalam ibadatnya, sehinggakan dia mendirikan biara peribadi untuk dijadikan tempat ibadatnya.

Pada suatu hari, sedang Juraij bersembahyang dalam biaranya, ibunya telah memanggilnya.

Namun, Juraij meneruskan sahaja tanpa mempedulikan panggilan ibunya itu.

Keesokkan harinya, ibu Juraij datang lagi memanggilnya ketika dia sedang solat. Namun Juraij masih juga tidak menyahut. Dia mengeluh,

"Ya Tuhanku, kenapa dengan ibuku ini, memanggil-manggil aku, sedangkan aku tengah solat?" Juraij tidak mempedulikan juga panggilan ibunya, malah dia tetap meneruskan ibadatnya.

"Wahai anakku, kalau ya pun engkau mahu beribadat, sahutlah dahulu panggilanku! Kemudian barulah engkau meneruskan ibadatmu," kata ibu Juraij di dalam hatinya.

Ibunya tidak berputus asa, lalu dia datang lagi memanggil-manggil nama anaknya itu pada keesokkan harinya.

"Juraij, Juraij, ibu mahu bercakap denganmu sekejap," kata ibunya.

Namun panggilan ibunya tetap tidak disahut oleh Juraij. Juraij meneruskan sahaja ibadatnya, tanpa memikirkan perasaan ibunya yang telah memanggilnya tiga hari berturut-tutut untuk bercakap dengannya.

Ibunya berasa tidak sabar lagi dengan Juraij. Maka keluarlah daripada mulutnya, "Ya Allah, janganlah engkau matikan anakku ini, selagi dia tidak melihat wajah perempuan jalang". Ibunya sangat kecewa dengan sikap anaknya yang tidak mahu mempedulikan panggilannya.

Pada suatu ketika, sekumpulan penduduk sedang bercakap tentang Juraij yang tekun beribadat. Kebetulan pada masa itu, datang seorang gadis melalui mereka di situ. Gadis itu terdengar perbincangan sekelompok orang tentang Juraij, lalu berkata, "kalau tuan-tuan mahu, biarlah aku sahaja yang menggoda Juraij itu".

Apabila gadis itu sampai di tempat Juraij, lalu digodanya Juraij dengan pelbagai cara. Tidak berapa lama kemudian, gemparlah seluruh Bani Israel kerana gadis itu telah mengandung dan mengaku bahawa anak di dalam kandungannya itu adalah anak Juraij.

Penduduk di situ datang ke tempat itu dengan marah, lalu mengheret Juraij keluar dari biaranya. Juraij telah dipukul dan biaranya dimusnahkan.

"Kenapa kamu semua membuat begini terhadapku?" tanya Juraij.

"Wahai Juraij, bukankah engkau telah berzina dengan perempuan sundal itu? Kini dia telah melahirkan seorang anak," kata mereka dengan marah.

Berita Juraij dipukul telah sampai kepada pengetahuan ibunya. Tiba-tiba hati ibunya yang pernah kecewa itu menangis tersedu-sedu sambil berkata dalam hatinya, "Kalau ini yang berlaku ke atas anakku, aku tidak akan menyumpahinya".

Ibunya tahu bahawa anaknya Juraij tidak akan melakukan perbuatan yang sekeji itu. Lalu ibunya berdoa, "Ya Tuhanku, lepaskan anakku daripada tuduhan itu".

Sementara itu, Juraij masih berhadapan dengan penduduk yang marah kepadanya. "Bolehkah engkau bawa bayi itu kepadaku? Aku akan tanya pada bayi itu sendiri," kata Juraij.

"Mana boleh engkau tanyakan kepada bayi itu!" kata mereka dengan marahnya.

Bagaimanapun, bayi itu dibawa juga kepada Juraij, lalu Juraij meminta izin untuk menunaikan solat terlebih dahulu. Selesai sahaja solat, Juraij mendekati dan mengusap bayi itu dengan jarinya sambil bertanya, "Siapakah bapamu?"

"Fulan, si penggembala," jawab bayi itu.

Alangkah terkejutnya orang di situ mendengar jawapan daripada bayi itu. Maka mereka memohon maaf kepada Juraij walaupun masih dalam keadaan terkejut.

Thursday, March 11, 2010

Pohon Hijau



Pohon hijau itu berdiri kaku
Pohon hijau itu berdiri kaku
Megahnya di celah pohonan
Ibarat lukisan hidup
Tetap tegak dan kaku

Pohon hijau itu tetap kaku
Lantas desiran kedengaran
Amat sayup dan sayu
Ia mula bergerak

Pohon hijau itu tidak kan kaku lagi
Beralun mengikut tarian bayu
Pohon hijau itu melambai-lambai
Beralun mengukir kehijauan

Begitulah diibaratkan
Dunia dengan kehidupan
Bermulanya di daratan
Kini menuju ke tengah lautan

Angin yang menderu
Datang tak menentu
Ombak memukul pelayaran
Apakan tergoyang keimanan

Untukmu teman bajailah hidupmu
Sirami hatimu dengan ketaqwaan
Dalam mencari keredhaan Tuhan

Hati-hati teman
Meniti salju kehidupan
Nan rapuh bisa cair dan runtuh

Bersama angin lalu kutitipkan harapan
Agar terus tabah hadapi cabaran

Pohon hijau itu yang dulu kaku
Kini mengikut tarian bayu
Pohon hijau itu melambai-lambai
Beralun mengukir kehijauan

Pohon hijau itu tidakkan kaku lagi
Beralun mengikut tarian bayu
Pohon hijau itu melambai-lambai
Beralun mengukir kehijauan

Bila kejayaan sudah digenggaman
Ingat-ingat teman kita kan pulang

Pohon hijau itu kini kaku
Ia tak bergerak lagi
Ia pastikan layu
gugur di taman ini


Wednesday, March 10, 2010

11 jenis manusia didoa malaikat

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

· 1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

· 2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

· 3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

· 4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

· 5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

· 6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

· 7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"

· 8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

· 9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"

· 10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

· 11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.