Showing posts with label kisah teladan. Show all posts
Showing posts with label kisah teladan. Show all posts

Wednesday, March 26, 2008

Berhentilah Jadi GELAS

Seorang guru Sufi melihat anak muridnya sedang bersedih lalu bertanya;

"Kenapa kau selalu murung, nak? Bukankah banyak hal yang indah di dunia ini? Ke mana perginya wajah syukurmu?"

Jawab murid itu, "Sejak kebelakangan ini hidup saya penuh masalah. Sukar untuk saya tersenyum. Masalah datang bertimpa-timpa."

Sang Guru tersenyum lalu berkata; "Nak, ambil segelas dan dua genggam garam, bawalah ke mari. Biar kuperbaiki suasana hatimu itu."

Dan si murid melakukan seperti yang disuruh. "Ambil garam tadi dan masukkan ke dalam gelas itu," kata Sang Guru.

"Setelah itu cuba kau minum airnya sedikit."

Si murid pun melakukannya dan wajahnya terus berubah kelat.

"Bagaimana rasanya?" Tanya Sang Guru.

"Masin, dan perutku jadi mual," jawab si murid.

Sang Guru ketawa dan berkata, "Sekarang, ikut aku."

Sang Guru membawa muridnya ke sebuah tasik lalu menyuruh si murid taburkan segenggam garam dan tanpa membantah si murid melakukannya.

"Sekarang. cuba kau minum," kata Sang Guru.

Si murid menangkupkan kedua belah tangannya, mengambil air tasik lalu meminumnya. Terasa sekali betapa air tasik yang dingin dan segar mengalilr di tekaknya lalu sekali gus menghilangkan rasa masin air yang diminum dari gelas tadi.

Sang Guru bertanya, "Bagaimana rasanya?"

"Segar, segar sekali," kata si murid sambil mengelap bibirnya dengan tangannya.

"Terasakah rasa garam yangn kau taburkan tadi?" Soal Sang Guru.

"Tidak sama sekali," kata si murid sambil mengambil air dan meminumnya lagi. Sang Guru hanya tersenyum memperhatikannya, membiarkan muridnya itu minum sampai puas.

"Nak," kata Sang Guru setelah muridnya selesai minum.

"Segala masalah dalam hidup itu seperti segenggam garam . Tidak kurang, tidak lebih. Hanya segenggam garam. Banyaknya masalah dan penderitaan yang harus kau alami sepanjang hidupmu sudah dikadar oleh ALLAH, sesuai untuk dirimu. Jumlahnya tetap, segitu-segitu sahaja, tidak kurang dan tidak lebih. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian. Tidak ada satu pun manusia, walaupun dia seorang Nabi, yang bebas dari penderitaan dan masalah."
Si murid terdiam, mendengarkan.

"Tapi Nak, rasa 'masin' dari penderitaan yang dialami itu bergantung kepada besarnya 'qalbu' (hati) yang menampungnya. Justeru, supaya tidak merasa menderita, berhentilah menjadi gelas. Jadikan 'qalbu' dalam dadamu itu sebesar tasik."

Sunday, March 23, 2008

Taubat Pemuda Nakal

PADA ZAMAN NABI ISA, terdapat pemuda nakal bernama Qasar. Perbuatan Qasar yang suka menutup air, mengotori dan meludahi air tidak disukai oleh penduduk kampungnya.

Oleh itu, penduduk kampung mengadu kepada Nabi Isa mendoakan supaya pemuda nakal itu tidak kembali ke kampung mereka. Pada suatu hari, semasa Nabi Isa berjalan di kampung itu, seorang penduduk berjumpa beliau dan berkata, “Wahai Isa, kami memohon pertolonganmu. Doakan supaya pemuda nakal itu tidak lagi melakukan perbuatan yang menyebabkan kami marah kepadanya.”

Mendengar aduan itu. Nabi Isa segera berdoa, “Ya Allah. Utuskan seekor ular supaya budak nakal itu tidak kembali lagi.”

Pada hari itu, Qasar mahu menutup air. Sebaik sahaja dia menutup air, seorang ahli ibadah datang menghampirinya dan bertanyakan sesuatu, “Wahai anak muda, bungkusan apakah yang kamu bawa? Saya terbau makanan yang enak. Bolehkah kamu berikan sedikit kepada saya?”

“Saya membawa roti. Sekiranya tuan mahu, saya berikan sekeping,” jawab Qasar. Dia pun memberikan sekeping roti kepada ahli ibadah itu. Selepas memakannya, ahli ibadah itu berdoa, “Semoga Allah mengampuni dosa-dosamu dan membersihkan hatimu.”

Kemudian Qasar memberikannya sekeping roti lagi. Ahli ibadah itu berdoa, “Semoga Allah mengampunkan dosa-dosamu yang lalu dan akan datang.” Qasar memberi lagi sekeping roti dan ahli ibadah it uterus berdoa, “Semoga Allah memberikan kamu istana di dalam syurga.”

Selepas itu, Qasar pun pulang ke kampungnya. Sebaik sahaja tiba, dia dibawa berjumpa dengan Nabi Isa. Nabi Isa pun bertanya, “Wahai Qasar, apakah kebaikan yang kamu lakukan pada hari ini?”

Qasar terus menceritakan peristiwa yang berlaku kepadanya sebelum pulang ke kampungnya. Nabi Isa tidak berpuas hati lalu meminta bungkusan yang dibawa oleh Qasar. Apabila Nabi Isa membukanya, kelihatan seekor ular hitam yang diikat.

Nabi Isa bertanya kepada ular itu, “Wahai ular, aku memerintahkan kamu mematuk orang ini. Mengapa kamu tidak melakukannya?”

Kemudian ular itu menjawab, “Sebelum sempat aku mematuknya, seorang ahli ibadah datang meminta makanan dan Qasar memberikannya. Ahli ibadah itu mendoakannya dan malaikat mengaminkannya. Kemudian Allah mengutuskan malaikat mengikat aku dengan tali daripada besi.”

Sebaik sahaja mendengar penjelasan ular itu, Nabi Isa berkata kepada Qasar, “Wahai Qasar, mulai sekarang bertaubatlah kamu kepada Allah dan berbuat baiklah sesame manusia. Allah mengampuni dosa-dosa kamu.”

Qasar segera menjawab, “Wahai Isa, mulai sekarang, saya berjanji untuk berbuat baik dan melakukan perintah Allah. Saya bertaubat daripada melakukan kelakuan buruk yang saya lakukan.”

Thursday, March 20, 2008

Hadiah untuk Sufiah

DI KAMPUNG DAMAI tinggal sepasang suami isteri. Si suami bernama Nawaz manakala isterinya bernama Sufiah.

Sufiah adalah isteri yang taat menjalankan perintah Tuhan. Manakala si suaminya pula sering menghabiskan masa dengan berlaga ayam. Seringkali dia di nasihati oleh isterinya supaya berubah namun tidak berkesan. Sufiah menasihati suaminya dengan penuh kelembutan. Katanya, "Wahai suamiku yang tercinta. Alangkah baiknya kekanda meninggalkan perbuatan yang sia-sia itu. Semoga kekanda beroleh kesejahteraan sentiasa."

Nawaz yang mendengar nasihat isterinya itu hanya mencebik. Dia berkata, "Kekanda tahu apa yang kekanda buat. Adinda uruskan sahaja hal rumah tangga. Jangan menyibuk!"

Sufiah hanya mendiamkan diri. Dia sentiasa tersenyum walaupun seringkali dimarahi.

Namun begitu, Sufiah juga sering membaca Bismillah sebelum memulakan pekerjaan. Sememangnya itu adalah amalan Sufiah setiap hari. Ucapnya, "Bismillahirrahmanirrahim."

Nawaz yang sering mendengar ucapan Bismillah itu berasa bosan. Nawaz berkata sendirian, "Tiada ucapan lainkah? Asyik ucapan yang sama. Bukannya boleh kaya dengan ucapan itu! Huh!"

Pada suatu hari, Nawaz berniat mahu memberikan pengajaran supaya isterinya itu berhenti daripada mengucapkan kalimah Bismillah. Pada hari berikutnya, Nawaz pergi ke hutan berhampiran mencari sarang lebah. Selepas mendapatkan apa yang dihajati, sarang lebah itu diletakkan di dalam sebuah karung lalu dibawa pulang. Sampai di rumah, Nawaz menyerahkan bungkusan yang dibawanya kepada isterinya. Dia mengatakan, "Di dalamnya ada benda yang sangat berharga. Ia adalah hadiah untuk adinda. Tetapi ... ia hanya boleh dibuka pada waktu malam."

Sufiah yang taat itupun melakukan apa yang diperintahkan. Apabila malam menjelang, Nawaz bersiap-siap hendak keluar. Sebelum keluar, dia sempat berpesan kepada isterinya.

"Adinda, jangan lupa buka bungkusan yang kanda berikan. Ia khas untuk adinda," pesan Nawaz.
Sufiah tersenyum. Dia menjawab, "Insya-Allah. Kekanda mahu ke mana?"

"Er ... kekanda ada hal sedikit. Bungkusan itu untuk adinda. Jadi, adinda sahaja yang membukanya. Jangan tunggu kekanda pulang."

Sebelum pergi, Nawaz berpura-pura mengingatkan isterinya. Katanya, "Jangan lupa membaca Bismillah sebelum membukanya."

Sebenarnya, Nawaz bersembunyi di belakang rumah. Dia berbisik sendirian, "Selepas ini, pasti adinda berhenti mengucapkan Bismillah!"

Sufiah mengambil bungkusan yang diberikan oleh suaminya. Lalu dia membaca kalimah Bismillah. Ucapnya, "Bismillahirrahmanirrahim."

Selepas membacanya maka bungkusan itu dibuka. Alangkah terkejutnya Sufiah lalu dia menjerit, "Ya Allah! Emas! Benarkah apa yang hamba lihat ini?"

Sufiah terus menadah tangan. Katanya, "Ya Allah! Alhamdulillah! Aku bersyukur atas segala nikmatMu ini."

Nawaz yang melihat kejadian itu merasa insaf dan mengakui akan kebesaran Tuhan. Katanya, "Ya Allah! Besar sungguh kekuasaanMu! Ampunkan hambaMu ini!"

Nawaz mendapatkan isterinya lalu menceritakan segala yang dirancangkannya.

Sufiah memaafkan segala kesalahannya. Semenjak itu, mereka hidup dengan bahagianya.

Wednesday, March 19, 2008

Anak Rusa yang Comel

"SAYA HENDAK ke hutan sekarang!" beritahu Nasaruddin kepada isteri dan anak-anaknya sebaik sahaja menyiapkan busur dan anak panah.

Nasaruddin adalah pelayan raja. Hobinya adalah memburu. Apabila ada waktu lapang, dia ke hutan untuk berburu.

"Apakah yang ayah akan buru kali ini?" tanya anak perempuan Nasaruddin.

"Tengoklah nanti apa rezekinya."

Hari itu dia masuk ke hutan seorang diri dengan menunggang kudanya dan panah tersangkut di belakang. Katanya sendirian, "Belum nampak seekor binatang buruan. Saya sudah jauh ke dalam hutan!"

Nasaruddin membiarkan kuda tunggangannya melangkah perlahan-lahan lebih jauh ke dalam hutan yang semakin tebal dan pelbagai jenis pokok-pokok yang jarang dilihat di pinggir hutan. Matanya memerhatikan ke sekeliling. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Lama dia cuba mengamati apakah kelibat binatang itu.

Perlahan-lahan dia mengarahkan kudanya mendekati dan terpandang anak rusa yang comel. "Sungguh comel anak rusa itu. Bagus juga kalau dapat menangkapnya."

Nasaruddin turun daripada kudanya dan mendekati anak rusa itu lebih dekat. "Tentu anak perempuan saya gembira apabila saya membawa pulang anak rusa comel ini untuknya."

Lama Nasaruddin memerhatikan anak rusa comel yang sedang meragut rumput-rumput hijau sambil memikirkan cara bagi menangkapnya. "Saya tidak boleh memanahnya kerana ia akan cedera sedangkan saya mahu menghadiahkan anak rusa comel itu kepada anak perempuan saya."

Nasaruddin semakin mendekati anak rusa comel dan dengan mudah sahaja dia berjaya menangkapnya. Anak rusa itu langsung tidak meronta apatah lagi cuba melepaskan diri. Ia diletakkan di atas kuda di hadapannya. "Lebih baik saya pulang sekarang sebelum hari gelap!"

Kuda Nasaruddin yang memahami arahan tuannya, berpusing ke laluan tadi dan melangkah meninggalkan hutan. Sepanjang perjalanan Nasaruddin berasa tidak selesa. Sesekali dia menoleh ke belakang. "Seperti ada sesuatu yang mengekori saya di belakang!"

Pergerakan kuda lebih perlahan kerana menanggung berat tuannya dan seekor anak rusa. Berulang kali Nasaruddin menoleh ke belakang tetapi tidak ada apa-apa yang kelihatan.

"Memang ada sesuatu. Saya dapat merasakannya."

Akhirnya mereka sampai ke tepi hutan. Sekali lagi Nasaruddin menoleh. "Inikah yang mengekori saya sejak tadi?"

Memang tepat sangkaan Nasaruddin. Ada sesuatu yang mengekorinya. Rupa-rupanya, ibu rusa sedang mengekori Nasaruddin. Nasaruddin memerhatikan wajah ibu rusa itu. Seolah-olah menagih simpati darinya. "Mungkinkah anak rusa comel ini anaknya?"

Buat seketika, Nasaruddin dan ibu rusa saling berpandangan. Tangan Nasaruddin mengusap-ngusap lembut badan anak rusa comel dihadapannya sambil memandang ke arah ibu rusa yang turut memerhatikan perbuatannya. "Sungguh kasihan wajah ibu rusa itu."

Tangannya terus mengusap sambil matanya pula tanpa berkelip memerhatikan wajah ibu rusa. "Adakah saya perlu melepaskan anak rusa ini?" Berulang kali Nasaruddin bertanya kepada dirinya sendiri. "Tentu anak perempuan saya kecewa saya pulang dengan tangan kosong."

Akhirnya, Nasaruddin bertekad menurunkan anak rusa comel ke tanah."Pulanglah ke pangkuan ibu kamu."

Sebaik sahaja anak rusa comel diturunkan, ia segera melompat-lompat mendapatkan ibunya. Nasaruddin memerhatikannya sambil tersenyum. Ibu rusa asyik menjilat-jilat anaknya dan memandang ke arah Nasaruddin lalu masuk ke dalam hutan manakala Nasaruddin pulang tanpa hasil buruan tetapi dia masih tersenyum sepanjang perjalanan pulang.

Malam itu, Nasaruddin bermimpi didatangi oleh Nabi Muhammad saw, "ALLAH meletakkan namamu dikalangan nama raja-raja! Engkau akan menjadi seorang raja dan jagalah kerajaanmu. Jangan sekali-kali abaikan tanggungjawabmu."

Mimpi Nasaruddin menjadi kenyataan. Dia dilantik menjadi raja Ghazi, sebuah wilayah di Afghanistan.

Sunday, March 2, 2008

Taubat Wanita Berzina

PADA SUATU PETANG, semasa Nabi Musa as. sedang berehat-rehat di rumahnya, tiba-tiba, pintu rumahnya diketuk berkali-kali. Kedengaran suara memberi salam. Nabi Musa segera bangun dan membuka pintu.

Sebaik sahaja pintu dibuka, seorang wanita berpakaian serba htam tercegat. Wajahnya dilutupi dengan tudung. Nabi Musa memerhatikannya seketika.

Pada penglihatannya, wanita itu seperti sedang menghadapi masalah. Wanita itu pula tunduk. Kemudian dia menangis sambil berkata, "Wahai Musa, tolong doakan supaya ALLAH mengampunkan dosa-dosa yang saya lakukan."

Nabi Musa tercengang. Beliau bertanya, "Apakah perbuatan yang kamu lakukan sebelum ini sehingga meminta saya mendoakan sedemikian?"

Wanita itu menahan esak tangisnya. Selepas agak reda, dia bersuara. "Terlalu sukar hendak saya jelaskan."

"Mengapa? Adakah kamu melakukan dosa besar sehingga takut tidak diampunkan ALLAH?" tanya Nabi Musa memujuk.

Bagaimanapun wanita itu keberatan memberitahu. Nabi Musa mempelawa wanita itu masuk ke dalam rumahnya supaya fikirannya tenang. Dia kemudian masuk dan duduk bersimpuh di tengah rumah.

Wanita itu tunduk kerana tidak berani bertentang mata dengan Nabi Musa. Selepas beberapa ketika, wanita itu bersuara, "Sebenarnya saya sudah melakukan zina."

Nabi Musa menarik nafas panjang dan beristighfar berkali-kali.

"Teruskan. Apa yang berlaku?" Nabi Musa meminta wanita itu meneruskan ceritanya.

Wanita itu kemudian menyambung ceritannya. "Akibat perbuatan itu, saya hamil. Apabila anak itu lahir, saya mencekiknya sehingga mati."

Tersirap darah Nabi Musa apabila mendengar pengakuan wanita itu. Beliau menggeleng kepala berkali-kali.

Tidak disangka wanita itu sanggup bertindak kejam pada zuriatnya.

Kemudian nabi berkata, "Saya sebenarnya amat marah dengan perbuatan terkutuk tu. Pergilah kamu dari sini kerana saya takut seksaan ALLAH bakal menimpa rumahku ini."

Tanpa berlengah lagi, wanita itu bangkit perlahan-lahan dan keluar dari rumah Nabi Musa. Hatinya berbisik sayu, "Sedangkan nabi begitu marah dengan perbuatanku, bagaimanakah orang lain mahu menerimaku?"

Tanpa diduga, Malaikat Jibril menurunkan wahyu kepada Nabi Musa dan bertanya kepadanya, "Mengapakah kamu menghalau wanita itu dari rumah kamu sedangkan perempuan tu mahu bertaubat daripada perbuatannya yang lalu?"

Kemudian Jibril berkata lagi, "Tahukah kamu, wahai Musa, ada lagi dosa yang lebih besar daripada yang dilakukan oleh wanita itu?"

Nabi Musa segera bertanya, "Apakah dosa yang lebih besar daripada dosa melakukan zina dan membunuh anak yang baru lahir?"

Lalu Malaikat Jibril segera menjawab, "Dosa orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja tanpa rasa menyesal. Manusia seperti itu lebih besar dosanya daripada melakukan zina."

Nabi Musa mengangguk faham. Kemudian beliau segera mendapatkan wanita tadi. Di hadapan wanita itu, Nabi Musa mengangkat tangan dan berdoa supaya ALLAH mengampunkan wanita itu.

"Jangan bimbang. Saya sudah berdoa kepada ALLAH supaya taubat kamu diterima. Jangan ulangi lagi perbuatan itu," ujar Nabi Musa.

Wanita itu menjawab, "Terima kasih, wahai nabi. Saya sudah bertaubat dan berjanji tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu." Dia pun pulanng dengan perasaan gembira.