Saturday, April 5, 2008

Memperkenankan Jemputan

Dari Abdullah bin Mas'ud ra. memberitakan Rasulullah saw. pernah bersabda:

"Perkenankanlah seruan orang yang menyeru atau menjemput"

- Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari dalam "Al-Adab Al-Mufrad" : Sahih -

Pengajaran Hadis:

1- Orang Islam adalah kaum yang hidup bermasyarakat: hubung-menghubungi; bukan pulau-memulau.

2- Bagi melaksanakan tuntutan syarak, wujudlah majlis kesyukuran menaiki rumah baru, majlis kenduri kahwin, jamuan bercukur bayi dan aqiqah dan lain-lain yang dilakukan dengan penuh gembira.

3- Menurut hukum syarak adalah wajib memperkenankan jemputan majlis-majlis tersebut terutama jemputan kenduri kahwin.

Friday, April 4, 2008

Mussollah

Dari Abdullah bin Umar ra. memberitakan Nabi saw pernah bersabda:

"Jadikanlah rumah-rumah kamu tempat kamu bersolat (Sunat) dan janganlah kamu menjadikannya (sunyi tanpa ibadah) sebagai perkukburan"

- Hadis Riwayat Ahmad dan Sepakat Al-Bukhari - Muslim -

Pengajaran Hadis:

1- Masjid ialah tempat solat fardhu, solat berjemaah dan Jumaat (juga sunat Tarawih); manakala rumah ialah tempat solat-solat sunat yang mengiringi fardhu, solat malam dan lain-lain.

2- Manakala kubur ialah tempat mengebumi mayat, tempat ziarah (memberi salam, istighfar dan doa ringkas untuk si mati). Dia bukanlah tempat kegiatan badah; cuma boleh bersolat jenazah bagi siapa yang belum bersolat; bagi solat yang lain dilarang mengadap ke kubur. Haram melangkah mayat yang belum hancur dan dlarang duduk di atas dada kubur. Berdasarkan Sunnah yang sahih tiadalah bacaan Al-Quran dan hadiah tahlil di atas kubur dan selainnya.

3- Kerana itu buatlah apa yang disuruh untuk dilakukan ke atas kubur dan janganlah terlibat dengan larangannya, termasuk meminta sesuatu pada mayat di mana dia boleh membawa kepada syirik (menyekutui ALLAH swt) sekalipun kubur para Nabi.

Thursday, April 3, 2008

Timbangan Amalan

Dari Abu Ad-Dardaa' ra. memberitakan Rasulullah saw. pernah bersabda:

"Timbangan amalan yang paling berat di Neraca Timbangan Amalan ialah akhlak yang mulia"

- Hadis Riwayat Ibnu Hibban: Sahih -

Pengajaran Hadis:

1- Orang yang beriman wajib percaya adanya Neraca Timbangan Amalan di Hari Akhirat untuk menimbang amalan manusia yang telah dicatatkan oleh malaikat Penulis (Raqiib -'Atiid) semasa hidupnya di dunia ini.

2- Amalan-amalan baik akan berat di Neraca Penimbang Amalan. Manakala semua amalan akan dikira dengan adil dan saksama bagi menentukan balasan syurga atau neraka.

3- Manakala akhlak (perangai) baik seseorang akan memberatkan Neraca kebaikan yang membawa seseorang itu berjaya memasuki syurga, di samping mendapat rahmat (pengasihan) ALLAH swt

Wednesday, April 2, 2008

Zalim

Jabir bin Abdullah ra memberitakan Nabi saw pernah bersabda:

"Janganlah menzalimi; kerana sesungguhnya kezaliman ini mewujudkan beberapa kegelapan di hari kiamat"

Pengajaran Hadis:

1- Orang Islam yang sebenar ialah orang yang selamat kepada orang lain iaitu orang yang tidak menceroboh hak orang lain dan mengganggunya.

2- Rasulullah saw. melarang umatnya menzalimi orang lain dari segi jiwanya, tubuh badannya, harta bendanya, kehormatannya dan lain-lain.

3- Perbuatan menzalimi adalah berdosa dan pelakunya akan diserang jerebu kegelapan di hari kiamat; sedang seseorang mukmin memerlukan pemberian cahaya untuk berada di padang Mahsyar dan di kala meniti Ttian Ash-Shiraat yang merentangi neraka Jahannam menuju ker syurga

Tuesday, April 1, 2008

Takutlah kepada ALLAH

Abdullah bin Mas'ud ra memberitakan Nabi saw bersabda:

"Takutlah kamu kepada ALLAH dan hubungilah keluarga kamu"

- Hadis riwwyat Ibnu 'Asaakir: Hasan -

Pengajaran Hadis:

1- Setiap orang adalah dilahirkan di dalam keluarga dan hidup berkeluarga bagi memakmurkan bumi ini.

2- Orang Islam diperintah ALLAH agar sentiasa berbuat baik kepada keluarga terdekat, kemudian keluarga jauh dengan menghubungi mereka apabila terputus hubungan. Jangan sesekali bertindak memusuhi mereka.

3- Rasulullah saw menyuruh umat Islam agar sentiasa takut kepada ALLAH dan agar menghubungi keluarga dikala terputus hubungan dengan menelefon, menziarahi, memberikan pemberian, membantu dan menasihati mereka.