Sunday, August 22, 2010

Saya Lebih Tahu Agama Saudara

Apabila mendengar Muhammad ingin berpindah ke Madinah, Adi bin Hatim pun segera keluar dari bandar Madinah. Beliau melarikan diri ke negara Rom.

Selepas tiba di sana, Adi pun menghantar rombongan berjumpa dengan Nabi Muhammad. Salah seorang anggota rombongan itu adalah ibu saudaranya yang sudah tua. Adi mahu menguji sejauh mana sifat bongkak Muhammad sebagaimana yang beliau dengar daripada oranng-orang Mekah.

Setibanya rombongan itu di Madinah, ibu saudara Adi berkata, "Wahai utusan Allah! Kami datang dari jauh. Kami tidak mempunyai anak. Saya pula sudah tua dan tidak kuat melakukan apa-apa kerja. Berikan kepada saya seorang pembantu. Semoga Allah membalas jasa tuan itu."

"Siapakah yang mengutus ibu datang ke sini?" tanya Muhammad mesra.

"Adi bin Hatim," jawab wanita itu.

"Oh, beliaulah orang yang lari daripada Allah dan rasulnya," kata Nabi Muhammad.

Adi pernah berpesan kepada ibu saudaranya supaya meminta unta daridapa Nabi Muhammad. Ibu saudaranya itu pun teringat pesanan Adi itu lalu berkata, "Wahai utusan Allah, berikan kepada kami unta."

Nabi Muhammad pun memerintahkan sahabat beliau memberikan seekor unta kepada wanita itu.

Kemudian wanita itu bersama-sama dengan rombongannya kembali bertemu dengan Adi.

"Wahai Adi, kamu telah melakukan perkara yang pelik yang belum pernah dilakukan oleh bapamu," kata ibu saudara Adi. "kamu pergi berjumpa sendiri dengan Muhammad. Sama ada kamu suka ataupun takut. Ramai orang yang pergi berjumpa dengannya dan mendapat apa yang mereka hajati," arah ibu saudara Adi.

Adi menceritakan, "Saya pun terus pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad. Pada masa itu, saya dapati beliau sedang duduk bersama-sama dengan seorang wanita dan anak kecil. Beliau duduk dekat dengan mereka. Barulah saya tahu beliau tidak bongkak seperti pemimpin Rom ataupun Parsi."

Apabila Nabi Muhammad terpandang Adi, beliau terus berkata, "Wahai Adi bin Hatim, masuklah saudara ke dalam agama Islam, pasti saudara selamat." Nabi Muhammad mengulang ajakannya itu sebanyak tiga kali.

"Saya tidak mahu. Saya masih dalam agama saya," jawab Adi.

"Saya lebih tahu agama saudara daripada saudara sendiri," kata Nabi Muhammad.

"Tuan lebih tahu agama saya berbanding saya?" tanya Adi pelik.

"Bukankah saudara menganut agama Rukusiah? Bukankah saudara mengambil satu perempat daripada harta rampasan perang yang diperoleh oleh kaum saudara? Sedangkan ia haram bagi saudara?" tanya Nabi Muhammad.

Agama Rukusiah adalah agama yang mencampurkan antara agama Kristian an Majusi.

"Ya, betul," jawab Adi.

"Bukankan agama saudara mengharamkan saudara daripada melakukan perkara itu?" tanya Nabi Muhammad lagi.

Akhirnya, Adi bin Hatim terdiam mendengar hujah Nabi Muhammad berkaitan agamanya. Beliau akui semua yang dikatakan oleh Nabi Muhammad itu adalah benar.

"Sebenarnya, saya tahu mengapa saudara tidak mahu menerima Islam," kata Nabi Muhammad. "Saudara rasa agama ini hanya dianuti oleh orang-orang yang lemah dan tidak mempunyai apa-apa kekuatan. Orang-orang Islam hanyalah orang yang sudah diusir oleh orang-orang Arab Mekah," jelas Nabi Muhammad.

"Saudara tahu tempat bernama Hirah?" tanya Nabi Muhammad kepada Adi.

"Ya, saya pernah mendengarnya. Tetapi saya belum pernah sampai di situ," jawab Adi.

"Demi Allah, Tuahn yang menggenggam nyawa saya. Allah akan sempurnakan kekuatan agama Islam ini sehingga ada seorang wanita dari Hirah pergi ke Mekah bagi tawaf di Kaabah seorang diri tanpa diiringi oleh sesiapa. Allah pasti memberikan kemenangan kepada Islam sehingga berjaya menguasai kekayaan pemimpin Parsi, Kisra bin Hurmuz," jelas Nabi Muhammad secara optimis.


No comments: