Thursday, March 6, 2014

Kisah Si Nelayan dan Ikan Jerung

Orang Jepun memang sangat gemar makan ikan segar. Tetapi kawasan perairan yang berhampiran dengan negeri Jepun tidak lagi mempunyai banyak ikan untuk beberapa dekad kebelakangan ini. Jadi, untuk menampung keperluan penduduk negeri Jepun, penangkapan ikan terpaksa dilakukan jauh ke tengah laut dan kapal-kapal menangkap ikan juga menjadi bertambah besar.

Lebih jauh nelayan-nelayan itu pergi menangkap ikan, lebih panjang masa yang diambil untuk membawa ikan-ikan ke pantai. Dan perkara ini menimbulkan satu masalah. Jika perjalanan pulang ke pantai mengambil masa lebih daripada beberapa hari, ikan-ikan yang ditangkap itu tidak dapat bertahan dan menjadi tidak segar. Dan orang-orang Jepun tidak suka ikan yang tidak begitu segar!

Untuk menangani masalah ini, syarikat-syarikat perikanan meletakkan peti-peti untuk membekukan ikan-ikan yang ditangkap di dalam kapal mereka. Ikan-ikan yang ditangkap akan terus disimpan di dalam peti tersebut. Ini membolehkan nelayan pergi lebih jauh ke tengah laut dan menangkap ikan. Mereka fikir mereka telah berjaya menyelesaikan masalah ikan segar mereka.

Tetapi sangkaan mereka meleset! Pelanggan-pelanggan mereka dapat membezakan rasa ikan segar dan ikan beku, dan mereka tentunya tidak gemarkan rasa ikan beku.

Akibatnya, ikan-ikan beku tersebut terpaksa dijual pada harga yang lebih rendah. Tetapi, syarikat perikanan tidak berputus asa. Mereka berusaha lagi.

Kali ini, mereka meletakkan tangki ikan di dalam kapal mereka. Mereka bercadang untuk memasukkan ikan-ikan yang ditangkap ke dalam tangki tersebut. Selepas beberapa ketika, ikan-ikan yang dipadatkan ke dalam tangki itu tidak dapat bergerak lagi. Ianya menjadi letih dan lemah tetapi apa yang penting, ikan-ikan tersebut masih hidup.

Anda tentu tidak percaya apa yang berlaku seterusnya. Syarikat-syarikat perikanan terkejut kerana pelanggan-pelanggan mereka masih tidak berpuas hati dengan rasa ikan-ikan yang dijual. Mereka masih dapat merasakan perbezaan pada rasa ikan tersebut. Oleh kerana ikan-ikan itu tidak bergerak untuk beberapa hari, ianya tidak lagi mempunyai rasa ikan segar. Dan pelanggan-pelanggan itu gemarkan rasa ikan segar yang aktif dan bukannya ikan yang lemah. Hmm

Setelah berfikir dan berbincang, syarikat-syarikat perikanan itu mendapat satu idea yang bagus.

Untuk memastikan yang ikan tangkapan mereka kekal segar sepanjang masa, nelayan-nelayan itu masih memasukkan ikan mereka ke dalam tangki ikan. Tetapi kali ini, mereka memasukkan seekor ikan jerung kecil ke dalam setiap tangki.  Ikan jerung itu akan memakan beberapa ekor ikan tetapi kebanyakan ikan-ikan itu tiba ke tepi pantai dalam keadaan aktif dan segar kerana ianya terpaksa berenang ke sana ke sini untuk mengelakkan diri daripada dimakan oleh ikan jerung tersebut. Ini adalah kerana ikan-ikan tersebut terpaksa berjuang ketika berhadapan dengan cabaran.

SubhanAllah, bukankah kehidupan ini suatu nikmat yang tidak terhingga? Sungguh hebat...

No comments: