Wednesday, March 19, 2008

Anak Rusa yang Comel

"SAYA HENDAK ke hutan sekarang!" beritahu Nasaruddin kepada isteri dan anak-anaknya sebaik sahaja menyiapkan busur dan anak panah.

Nasaruddin adalah pelayan raja. Hobinya adalah memburu. Apabila ada waktu lapang, dia ke hutan untuk berburu.

"Apakah yang ayah akan buru kali ini?" tanya anak perempuan Nasaruddin.

"Tengoklah nanti apa rezekinya."

Hari itu dia masuk ke hutan seorang diri dengan menunggang kudanya dan panah tersangkut di belakang. Katanya sendirian, "Belum nampak seekor binatang buruan. Saya sudah jauh ke dalam hutan!"

Nasaruddin membiarkan kuda tunggangannya melangkah perlahan-lahan lebih jauh ke dalam hutan yang semakin tebal dan pelbagai jenis pokok-pokok yang jarang dilihat di pinggir hutan. Matanya memerhatikan ke sekeliling. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Lama dia cuba mengamati apakah kelibat binatang itu.

Perlahan-lahan dia mengarahkan kudanya mendekati dan terpandang anak rusa yang comel. "Sungguh comel anak rusa itu. Bagus juga kalau dapat menangkapnya."

Nasaruddin turun daripada kudanya dan mendekati anak rusa itu lebih dekat. "Tentu anak perempuan saya gembira apabila saya membawa pulang anak rusa comel ini untuknya."

Lama Nasaruddin memerhatikan anak rusa comel yang sedang meragut rumput-rumput hijau sambil memikirkan cara bagi menangkapnya. "Saya tidak boleh memanahnya kerana ia akan cedera sedangkan saya mahu menghadiahkan anak rusa comel itu kepada anak perempuan saya."

Nasaruddin semakin mendekati anak rusa comel dan dengan mudah sahaja dia berjaya menangkapnya. Anak rusa itu langsung tidak meronta apatah lagi cuba melepaskan diri. Ia diletakkan di atas kuda di hadapannya. "Lebih baik saya pulang sekarang sebelum hari gelap!"

Kuda Nasaruddin yang memahami arahan tuannya, berpusing ke laluan tadi dan melangkah meninggalkan hutan. Sepanjang perjalanan Nasaruddin berasa tidak selesa. Sesekali dia menoleh ke belakang. "Seperti ada sesuatu yang mengekori saya di belakang!"

Pergerakan kuda lebih perlahan kerana menanggung berat tuannya dan seekor anak rusa. Berulang kali Nasaruddin menoleh ke belakang tetapi tidak ada apa-apa yang kelihatan.

"Memang ada sesuatu. Saya dapat merasakannya."

Akhirnya mereka sampai ke tepi hutan. Sekali lagi Nasaruddin menoleh. "Inikah yang mengekori saya sejak tadi?"

Memang tepat sangkaan Nasaruddin. Ada sesuatu yang mengekorinya. Rupa-rupanya, ibu rusa sedang mengekori Nasaruddin. Nasaruddin memerhatikan wajah ibu rusa itu. Seolah-olah menagih simpati darinya. "Mungkinkah anak rusa comel ini anaknya?"

Buat seketika, Nasaruddin dan ibu rusa saling berpandangan. Tangan Nasaruddin mengusap-ngusap lembut badan anak rusa comel dihadapannya sambil memandang ke arah ibu rusa yang turut memerhatikan perbuatannya. "Sungguh kasihan wajah ibu rusa itu."

Tangannya terus mengusap sambil matanya pula tanpa berkelip memerhatikan wajah ibu rusa. "Adakah saya perlu melepaskan anak rusa ini?" Berulang kali Nasaruddin bertanya kepada dirinya sendiri. "Tentu anak perempuan saya kecewa saya pulang dengan tangan kosong."

Akhirnya, Nasaruddin bertekad menurunkan anak rusa comel ke tanah."Pulanglah ke pangkuan ibu kamu."

Sebaik sahaja anak rusa comel diturunkan, ia segera melompat-lompat mendapatkan ibunya. Nasaruddin memerhatikannya sambil tersenyum. Ibu rusa asyik menjilat-jilat anaknya dan memandang ke arah Nasaruddin lalu masuk ke dalam hutan manakala Nasaruddin pulang tanpa hasil buruan tetapi dia masih tersenyum sepanjang perjalanan pulang.

Malam itu, Nasaruddin bermimpi didatangi oleh Nabi Muhammad saw, "ALLAH meletakkan namamu dikalangan nama raja-raja! Engkau akan menjadi seorang raja dan jagalah kerajaanmu. Jangan sekali-kali abaikan tanggungjawabmu."

Mimpi Nasaruddin menjadi kenyataan. Dia dilantik menjadi raja Ghazi, sebuah wilayah di Afghanistan.

No comments: