Sunday, March 2, 2008

Taubat Wanita Berzina

PADA SUATU PETANG, semasa Nabi Musa as. sedang berehat-rehat di rumahnya, tiba-tiba, pintu rumahnya diketuk berkali-kali. Kedengaran suara memberi salam. Nabi Musa segera bangun dan membuka pintu.

Sebaik sahaja pintu dibuka, seorang wanita berpakaian serba htam tercegat. Wajahnya dilutupi dengan tudung. Nabi Musa memerhatikannya seketika.

Pada penglihatannya, wanita itu seperti sedang menghadapi masalah. Wanita itu pula tunduk. Kemudian dia menangis sambil berkata, "Wahai Musa, tolong doakan supaya ALLAH mengampunkan dosa-dosa yang saya lakukan."

Nabi Musa tercengang. Beliau bertanya, "Apakah perbuatan yang kamu lakukan sebelum ini sehingga meminta saya mendoakan sedemikian?"

Wanita itu menahan esak tangisnya. Selepas agak reda, dia bersuara. "Terlalu sukar hendak saya jelaskan."

"Mengapa? Adakah kamu melakukan dosa besar sehingga takut tidak diampunkan ALLAH?" tanya Nabi Musa memujuk.

Bagaimanapun wanita itu keberatan memberitahu. Nabi Musa mempelawa wanita itu masuk ke dalam rumahnya supaya fikirannya tenang. Dia kemudian masuk dan duduk bersimpuh di tengah rumah.

Wanita itu tunduk kerana tidak berani bertentang mata dengan Nabi Musa. Selepas beberapa ketika, wanita itu bersuara, "Sebenarnya saya sudah melakukan zina."

Nabi Musa menarik nafas panjang dan beristighfar berkali-kali.

"Teruskan. Apa yang berlaku?" Nabi Musa meminta wanita itu meneruskan ceritanya.

Wanita itu kemudian menyambung ceritannya. "Akibat perbuatan itu, saya hamil. Apabila anak itu lahir, saya mencekiknya sehingga mati."

Tersirap darah Nabi Musa apabila mendengar pengakuan wanita itu. Beliau menggeleng kepala berkali-kali.

Tidak disangka wanita itu sanggup bertindak kejam pada zuriatnya.

Kemudian nabi berkata, "Saya sebenarnya amat marah dengan perbuatan terkutuk tu. Pergilah kamu dari sini kerana saya takut seksaan ALLAH bakal menimpa rumahku ini."

Tanpa berlengah lagi, wanita itu bangkit perlahan-lahan dan keluar dari rumah Nabi Musa. Hatinya berbisik sayu, "Sedangkan nabi begitu marah dengan perbuatanku, bagaimanakah orang lain mahu menerimaku?"

Tanpa diduga, Malaikat Jibril menurunkan wahyu kepada Nabi Musa dan bertanya kepadanya, "Mengapakah kamu menghalau wanita itu dari rumah kamu sedangkan perempuan tu mahu bertaubat daripada perbuatannya yang lalu?"

Kemudian Jibril berkata lagi, "Tahukah kamu, wahai Musa, ada lagi dosa yang lebih besar daripada yang dilakukan oleh wanita itu?"

Nabi Musa segera bertanya, "Apakah dosa yang lebih besar daripada dosa melakukan zina dan membunuh anak yang baru lahir?"

Lalu Malaikat Jibril segera menjawab, "Dosa orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja tanpa rasa menyesal. Manusia seperti itu lebih besar dosanya daripada melakukan zina."

Nabi Musa mengangguk faham. Kemudian beliau segera mendapatkan wanita tadi. Di hadapan wanita itu, Nabi Musa mengangkat tangan dan berdoa supaya ALLAH mengampunkan wanita itu.

"Jangan bimbang. Saya sudah berdoa kepada ALLAH supaya taubat kamu diterima. Jangan ulangi lagi perbuatan itu," ujar Nabi Musa.

Wanita itu menjawab, "Terima kasih, wahai nabi. Saya sudah bertaubat dan berjanji tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu." Dia pun pulanng dengan perasaan gembira.

No comments: