Thursday, March 20, 2008

Hadiah untuk Sufiah

DI KAMPUNG DAMAI tinggal sepasang suami isteri. Si suami bernama Nawaz manakala isterinya bernama Sufiah.

Sufiah adalah isteri yang taat menjalankan perintah Tuhan. Manakala si suaminya pula sering menghabiskan masa dengan berlaga ayam. Seringkali dia di nasihati oleh isterinya supaya berubah namun tidak berkesan. Sufiah menasihati suaminya dengan penuh kelembutan. Katanya, "Wahai suamiku yang tercinta. Alangkah baiknya kekanda meninggalkan perbuatan yang sia-sia itu. Semoga kekanda beroleh kesejahteraan sentiasa."

Nawaz yang mendengar nasihat isterinya itu hanya mencebik. Dia berkata, "Kekanda tahu apa yang kekanda buat. Adinda uruskan sahaja hal rumah tangga. Jangan menyibuk!"

Sufiah hanya mendiamkan diri. Dia sentiasa tersenyum walaupun seringkali dimarahi.

Namun begitu, Sufiah juga sering membaca Bismillah sebelum memulakan pekerjaan. Sememangnya itu adalah amalan Sufiah setiap hari. Ucapnya, "Bismillahirrahmanirrahim."

Nawaz yang sering mendengar ucapan Bismillah itu berasa bosan. Nawaz berkata sendirian, "Tiada ucapan lainkah? Asyik ucapan yang sama. Bukannya boleh kaya dengan ucapan itu! Huh!"

Pada suatu hari, Nawaz berniat mahu memberikan pengajaran supaya isterinya itu berhenti daripada mengucapkan kalimah Bismillah. Pada hari berikutnya, Nawaz pergi ke hutan berhampiran mencari sarang lebah. Selepas mendapatkan apa yang dihajati, sarang lebah itu diletakkan di dalam sebuah karung lalu dibawa pulang. Sampai di rumah, Nawaz menyerahkan bungkusan yang dibawanya kepada isterinya. Dia mengatakan, "Di dalamnya ada benda yang sangat berharga. Ia adalah hadiah untuk adinda. Tetapi ... ia hanya boleh dibuka pada waktu malam."

Sufiah yang taat itupun melakukan apa yang diperintahkan. Apabila malam menjelang, Nawaz bersiap-siap hendak keluar. Sebelum keluar, dia sempat berpesan kepada isterinya.

"Adinda, jangan lupa buka bungkusan yang kanda berikan. Ia khas untuk adinda," pesan Nawaz.
Sufiah tersenyum. Dia menjawab, "Insya-Allah. Kekanda mahu ke mana?"

"Er ... kekanda ada hal sedikit. Bungkusan itu untuk adinda. Jadi, adinda sahaja yang membukanya. Jangan tunggu kekanda pulang."

Sebelum pergi, Nawaz berpura-pura mengingatkan isterinya. Katanya, "Jangan lupa membaca Bismillah sebelum membukanya."

Sebenarnya, Nawaz bersembunyi di belakang rumah. Dia berbisik sendirian, "Selepas ini, pasti adinda berhenti mengucapkan Bismillah!"

Sufiah mengambil bungkusan yang diberikan oleh suaminya. Lalu dia membaca kalimah Bismillah. Ucapnya, "Bismillahirrahmanirrahim."

Selepas membacanya maka bungkusan itu dibuka. Alangkah terkejutnya Sufiah lalu dia menjerit, "Ya Allah! Emas! Benarkah apa yang hamba lihat ini?"

Sufiah terus menadah tangan. Katanya, "Ya Allah! Alhamdulillah! Aku bersyukur atas segala nikmatMu ini."

Nawaz yang melihat kejadian itu merasa insaf dan mengakui akan kebesaran Tuhan. Katanya, "Ya Allah! Besar sungguh kekuasaanMu! Ampunkan hambaMu ini!"

Nawaz mendapatkan isterinya lalu menceritakan segala yang dirancangkannya.

Sufiah memaafkan segala kesalahannya. Semenjak itu, mereka hidup dengan bahagianya.

No comments: